betapa tersentuhnya hati ku bila memgenangkan nasib anak-anak yatim ini,,,
biala ak ada sedikit duit pown..akn ku sedekahkan untk membantu anak-anak yatim ini..
doaku pada anak-anak yatim ini..supaya mereka selalu diberkati dan dirahmati allah swt selalu...
subhannallah,,hnya kau yg tahu ttg segala kejadian yg tlh kau tentukan..
sama2 kita mghayati petikan dripada blogger ttg anak2 yatim:-
Kedudukan Anak Yatim Di Dalam ISLAM
Di dalam al-Quran banyak dianjurkan agar anak-anak yatim dibela nasibnya. Perbuatan membantu dan memberi makan anak-anak yatim merupakan perbuatan yang mulia, malah ia di antara keutamaan amalan soleh yang wajar diberi perhatian oleh setiap mukmin.
ALLAH melarang manusia berbuat zalim terhadap mereka. Malah, seseorang yang berlaku zalim, tidak menjaga hak dan memberi makan anak yatim dianggap sebagai mendustakan agama. ALLAH subhanahu wata’ala berfirman dalam surah al-Ma`uun ayat 1-3:
أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ
Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama?
فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ
Itulah orang yang mengherdik anak yatim
وَلا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ
dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.
Tidakkah di hati kita berasa gerun dan gementar serta didatangi perasaan serba tidak kena apabila membaca ayat di atas?
Walaupun mungkin kita tidak mengherdik anak yatim, dan barangkali tidak terlibat bermuamalah dan berurusan dengan anak yatim, namun janganlah pula kita mengabaikan nasib dan hak mereka untuk terus hidup di muka bumi ini.
Anak-anak yatim ini bukan sahaja hilang tempat bergantung kasih sayang, malah turut juga dihimpit kemiskinan dan kesusahan dalam meneruskan survival kehidupan yang amat mencabar.
Namun, di tengah-tengah manusia yang alpa dan lalai dari tanggungjawab ini, ada juga sebahagian ahli masyarakat yang telah mengorbankan jiwa, harta, tenaga dan masa bagi membela nasib anak-anak yatim. Sebahagian mereka turut juga mempunyai keluarga, anak-anak, pekerjaan, tanggungan dan lain-lain urusan yang menyibukkan mereka. Namun, mereka masih dapat berkhidmat kepada anak-anak yatim ini.
Betapa sucinya hati mereka. Saya dan barangkali anda juga tidak mempunyai kehebatan jiwa seperti mereka. Dalam kesusahan dan kesempitan wang, mereka masih terus istiqamah membela nasib anak-anak yatim. Barangkali hati mereka telah disinari iman yang terang dengan galakan-galakan dari ALLAH subhanahu wata’ala dan juga dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Kelebihan Membela Anak-anak Yatim
Kelebihan membela anak-anak yatim banyak disabdakan oleh Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Cukup dengan hadith berikut sebagai pembakar semangat:
“Aku dan pengasuh anak yatim (kelak) di syurga seperti dua jari ini (Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menunjuk jari telunjuk dan jari tengah dan merapatkan keduanya.” (HR. Bukhari)
“Demi yang mengutus aku dengan hak, ALLAH tidak akan menyeksa orang yang mengasihi dan menyayangi anak yatim, berbicara kepadanya dengan lembut dan mengasihi keyatiman serta kelemahannya…” (HR At-Tabhrani)
SubhanALLAH, sungguh mulia bagi yang menjadi pembela anak-anak yatim. Mereka akan mendampingi Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pada hari akhirat nanti dengan dampingan yang sangat rapat. Bukankah ini menjadi harapan kita?
Apa Yang Boleh Kita Bantu?
Ayuh, saya mengajak diri saya yang selalu lupa ini dan anda semua agar bertindak sekarang. Sekarang!!! Jika mempunyai kemampuan, ziarahlah ke rumah anak-anak yatim yang berdekatan dan tanyalah apa yang boleh kalian sumbangkan. Kalau boleh ambil seorang anak yatim sebagai anak angkat lagi bagus. Kalau tak mampu, paling kurang dermalah.
Sebahagian orang sibuk dengan mengumpul harta. Dah dapat harta, habis disalurkan harta itu kepada perut sendiri sahaja. Ada juga yang membeli aksesori kenderaan, membuat pengubahsuaian rumah, membeli set-set TV/audio dan sebagainya. Walaupun tidak 100% salah, namun janganlah sampai lupa akan tanggungjawab kita terhadap anak-anak yatim. Tawaran dari ALLAH dan Rasul sangat besar untuk kita lepaskan begitu sahaja…bukan?
Bagi memudahkan tuan/puan untuk mengesan rumah anak-anak yatim di seluruh Malaysia, ada satu laman web yang telah menyenaraikan rumah-rumah anak yatim. SubhanALLAH, semoga ALLAH memberkati usaha individu tersebut. Berikut laman webnya:
http://rumahanakyatim.com/
Selagi masih nyawa dikandung badan, marilah kita cari sebanyak peluang dan ruang agar kita tatkala bertemu dengan ALLAH subhanahu wata’ala di akhirat nanti, pulang dalam keadaan beruntung. Sudah mati, tidak ada guna lagi penyesalan. Duit di dalam bank dan harta yang dikumpul tidak banyak dapat membantu kita. Justeru, ayuh muslimin dan muslimat sekalian…belalah anak-anak yatim!
Semoga hidup kita diberkati ALLAH, dan pulang nanti diredhoi ALLAH, amin…
No comments:
Post a Comment